KEHAMILAN MOLAR

PENDAHULUAN

Kanser anggur ataupun di dalam istilah perubatan dinamakan Koriokarsinoma (”Choriocarcinoma”) adalah sejenis kanser yang jarang berlaku tetapi ianya boleh dirawat dengan rawatan kemoterapi. Kanser anggur adalah salah satu spektrum di dalam penyakit yang dikategorikan sebagai ”Gestational Trophoblastic Diseases (GTD)”. ”Gestational” adalah istilah perubatan yang bermaksud kehamilan manakala ”Trophoblast” adalah merujuk kepada uri ataupun plasenta. Dengan perkataan lain, penyakit GTD ini adalah penyakit yang mempunyai kaitan yang rapat dengan ketumbuhan yang terhasil dari proses kehamilan yang tidak normal melibatkan uri ataupun plasenta.


GTD boleh dibahagikan kepada beberapa jenis dan 4 kategori yang utama adalah :

1. Kehamilan Molar/Anggur

2. Invasif mol (”invasive mole”)

3. ”Placenta site throphoblastic tumour”

4. Koriokarsinoma (Choriocarcinoma)



Jenis pertama iaitu kehamilan Molar/Anggur adalah yang paling kerap berlaku tetapi ianya bukan kanser dan hampir semua pesakit akan dapat dipulihkan sepenuhnya dengan rawatan. Manakala jenis 2 hingga ke 4 merupakan kanser yang memerlukan rawatan seperti mana rawatan-rawatan kanser yang lain.


KEHAMILAN MOLAR/ANGGUR



Perkataan anggur digunakan kerana rupa bentuk ketumbuhan yang dihasilkan oleh persenyawaan yang tidak normal ini menyerupai buah anggur.

Istilah yang lebih tepat untuk jenis kehamilan ini adalah kehamilan molar (”molar pregnancy”) jadi untuk keterangan selanjutnya istilah kehamilan molar akan digunakan sebagai ganti kehamilan anggur.

Kehamilan molar tidak dikategorikan sebagai kanser dan punca kejadian kehamilan molar ini adalah disebabkan oleh kelainan yang berlaku semasa proses persenyawaan di antara sperma (benih lelaki) dan ovum (benih wanita). Akibat dari persenyawaan yang tidak normal ini maka terbentuklah kehamilan molar.


Kita tahu bahawa persenyawaan benih lelaki dan wanita akan menghasilkan embrio dan embrio ini akan dibawa melalui tiub falopian dan bergerak ke arah dinding rahim. Seterusnya embrio akan melekat pada selaput dinding rahim dan akan membesar menjadi bayi atau janin di dalam kandungan. Walau bagaimanapun di dalam kes kehamilan molar, tidak terjadi janin tetapi digantikan oleh ketumbuhan yang berbentuk seperti gugusan anggur ataupun kelihatan seperti buih ataupun sista-sista kecil.

------


KANSER ANGGUR ATAU KORIOKARSINOMA (”CHORIOCARCINOMA”)


Istilah koriokarsinoma adalah istilah yang lebih tepat digunakan untuk kanser jenis ini, ”korio” adalah istilah yang diambil dari vili korionik (”chorionic villi”) iaitu salah satu komponen uri manusia. Istilah karsinoma pula merujuk kepada kanser yang berasal dal sel-sel epitelial. Disebabkan kanser ini mempunyai atau berasal dari salah satu komponen uri atau plasenta maka salah satu ciri khusus kanser ini adalah ia boleh menghasilkan hormon HCG (”Human Chorionic Gonadotrophin”) yang sangat tinggi malah lebih tinggi daripada wanita-wanita yang hamil. Penyakit koriokarsinoma boleh berlaku kepada sesiapa yang pernah hamil termasuk kepada wanita-wanita yang pernah mengalami kehamilan molar. Tidak seperti kehamilan molar, koriokarsinoma boleh berlaku di mana-mana organ badan seperti hati, limpa, paru-paru, tulang belakang dan otak. Koriokarsinoma boleh juga terjadi di dinding rahim. Koriokarsinoma adalah sejenis kanser yang agresif tetapi sangat sensitif kepada ubat kemoterapi menjadikannya salah satu kanser yang boleh sembuh sepenuhnya. Koriokarsinoma boleh merupakan salah satu komplikasi jangkapanjang kehamilan molar. Walau bagaimanapun kemungkinan berlakunya komplikasi ini adalah sangat kecil di mana cuma 2-3 peratus sahaja kes koriokarsinoma berlaku selepas kehamilan molar.


Koriokarsinoma boleh berlaku bila-bila masa dari beberapa bulan sehingga beberapa tahun selepas sebarang kehamilan samada kehamilan normal, keguguran ataupun kehamilan luar rahim. Koriokarsinoma yang berlaku beberapa tahun selepas kehamilan normal dikatakan jenis yang paling agresif.


TANDA-TANDA DAN GEJALA-GEJALA KORIOKARSINOMA



Memandangkan koriokarsinoma boleh berlaku di mana-mana sahaja organ badan maka pesakit yang menghidap kanser jenis ini boleh mengalami berbagai-bagai tanda dan gejala.

Berikut adalah di antara gejala-gejala dan tanda-tanda yang mungkin dialami oleh pesakit koriokarsinoma:

a. Batuk berdarah dan sesak nafas

b. Sakit kepala dan lumpuh sebelah badan

c. Sakit tulang belakang

d. Ketumbuhan dan perdarahan di bahagian faraj.

e. Bengkak perut dan kuning mata

f. Hilang selera makan dan turun berat badan


Faktor yang paling penting yang memastikan pesakit ini menghidap koriokarsinoma adalah kandungan hormon HCG (”Human Chorionic Gonadotrophin”) di dalam badan mereka. Jadi ujian darah bagi mengukur hormon HCG ini adalah satu kemestian jika sekiranya doktor mengesyaki koriokarsinoma.


-----

RAWATAN KEMOTERAPI


MEMAHAMI KEMOTERAPI



Salah satu kaedah rawatan kanser yang sering diberikan kepada pengidap kanser adalah ubat kemoterapi. Kemoterapi tidak dapat tidak akan mengubah kehidupan anda. Disamping mengalami perubahan dari segi penampilan fizikal dan emosi, anda mungkin juga akan merasa sukar untuk bercakap mengenai apa yang anda rasa kepada orang lain. Dengan memahami bagaimana kemoterapi bertindak ke atas sel-sel yang normal dan tidak normal dalam diri anda, diharap anda akan lebih tabah dalam menghadapi sebarang kesan sampingan yang dialami sepanjang dalam rawatan ini. Apa yang penting adalah anda perlu sentiasa berfikiran positif di dalam menjalani rawatan kemoterapi ini.


APAKAH ITU KEMOTERAPI


Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan yang khusus untuk merawat sesuatu penyakit kanser. Di sini, kemoterapi merujuk kepada penggunaan ubat-ubatan khusus untuk melawan dan memusnahkan sel-sel kanser yang sedang merebak dengan cepat dalam badan anda. Ubat ini akan memasuki sistem pengaliran darah anda dan pergi ke seluruh badan untuk membunuh sel-sel kanser yang tidak dapat di buang melalui pembedahan atau di musnahkan oleh rawatan radioterapi. Bila lebih dari satu jenis ubat digunakan, ia dipanggil kemoterapi kombinasi.


BAGAIMANA KEMOTERAPI BERTINDAK



Terdapat banyak jenis ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser. Ubat kemoterapi sebenarnya banyak yang dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan seperti contohnya ubat Paclitaxel yang digunakan untuk merawat banyak jenis kanser. Ubat kemoterapi ini dihasilkan dari kulit pokok yew. Terdapat beberapa kategori ubat kemoterapi yang mempunyai perbezaan dari segi bagaimana ubat-ubat ini mematikan sel-sel kanser. Secara amnya semua ubat-ubat kemoterapi mematikan sel-sel kanser dengan cara bertindak mengganggu atau merencat proses pembiakan sel-sel kanser. Ini dilakukan dengan cara merosakkan DNA ataupun baka sel-sel kanser melalui berbagai-bagai kaedah seperti mengikat (“cross-linking”) ataupun memotong DNA tersebut. Akibat kerosakan DNA ini maka sel-sel kanser ini akan mati. Ubat kemoterapi lebih berkesan terhadap sel-sel kanser yang cepat membiak. Kadangkala ubat ini tidak dapat membezakan di antara sel-sel kanser dan sel-sel normal yang juga cepat membiak seperti sel-sel dinding usus, mulut, organ reproduktif terutamanya ovari, sel-sel rambut dan juga sel-sel sum-sum tulang. Sel-sel ini mungkin terdedah kepada kesan ubat kemoterapi walau bagaimanapun dengan kaedah rawatan yang terancang dan teliti oleh Pakar Kanser, kesan-kesan ini dapat diminimakan malah jika sekiranya berlaku ianya adalah lebih bersifat sementara.


APAKAH FUNGSI RAWATAN KEMOTERAPI

Rawatan kemoterapi mempunyai beberapa tujuan, diantara tujuan rawatan kemoterapi adalah seperti berikut :

A. RAWATAN UTAMA. Sebagai kaedah rawatan utama kanser. Contoh rawatan kemoterapi sebagai rawatan utama adalah di dalam kes kanser anggur ataupun koriokarsinoma.

B. KEMOTERAPI ADJUVAN. Untuk mengurangkan kadar kejadian semula kanser kepada pesakit-pesakit yang telah menjalani rawatan utama contohnya rawatan pembedahan. Rawatan kemoterapi ini dikenali sebagai rawatan adjuvan ( “Adjuvant chemotherapy”). Contoh rawatan ini adalah rawatan kemoterapi ke atas pesakit kanser ovari yang telah menjalani rawatan pembedahan.

C. KEMOTERAPI NEOADJUVAN. Sebagai rawatan permulaan sebelum pesakit menerima rawatan utama. Tujuan rawatan neoadjuvan kemoterapi ini adalah untuk mengecilkan saiz kanser dan dengan itu rawatan pembedahan yang akan dijalankan akan menjadi lebih mudah. Contoh rawatan neoadjuvan ini adalah rawatan ke atas sebahagian kes kanser pangkal rahim dan kanser ovari.

D. KEMOTERAPI PALIATIF. Peranan terakhir rawatan kemoterapi adalah sebagai kaedah rawatan untuk mengurangkan penderitaan pesakit kanser yang sudah tidak dapat disembuhkan lagi. Ini dinamakan Kemoterapi Paliatif ( “Palliative Chemotherapy”). Contoh rawatan ini adalah kepada pesakit kanser pangkal rahim ataupun kanser-kanser lain yang merebak biji kelenjar Para-aortik dan menyebabkan penyumbatan saluran buah pinggang dan menyebabkan salur buah pinggang dan buah pinggang menjadi bengkak (“hydroureter, hydronephrosis”). Pesakit akan menghadapi masalah sakit pinggang dan jangkitan buah pinggang. Biji kelenjar yang besar ini juga boleh menekan urat saraf dari tulang belakang dan menyebabkan kesakitan bahagian belakang. Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan kesakitan dan mengurangkan kesan penyempitan. Rawatan kemoterapi paliatif ini tidak bertujuan untuk menyembuhkan penyakit kanser pesakit tetapi untuk mengurangkan penderitaan akibat kesakitan.

0 Responses to "What is Molar? Why Chemo? (malay version)"

Post a Comment